Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS, Sentimen Pasaran Positif Setelah Didorong Data China


Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan sentimen pasaran yang semakin baik setelah didorong oleh data ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Laporan mengenai Nvidia yang boleh menyambung semula penjualan cip mikro ke China turut memberi isyarat bahawa kejutan tarif AS boleh diuruskan, sekali gus meningkatkan lagi sentimen pasaran.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2395/2440 berbanding dolar AS daripada 4.2505/2560 ketika ditutup pada Isnin.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pergerakan ringgit memperoleh dorongan selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua China mencatatkan peningkatan di luar jangkaan.

Beliau berkata keadaan itu menjadi rangsangan serantau yang didorong bukan oleh permintaan AS, tetapi oleh daya tahan China dalam laluan eksport bukan AS.

“Ini sebagai peringatan bahawa mata wang negara ASEAN, khususnya ringgit, masih boleh meraih momentum meningkat apabila enjin penawaran China beroperasi dengan lancar dan stabil serta kompas perdagangannya beralih ke selatan dan timur, bukannya ke barat,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut bersetuju faktor luaran telah mendorong kenaikan ringgit serta mata wang lain hari ini.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding pound British kepada 5.7047/7107 daripada 5.7305/7379 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8702/8734 daripada 2.8858/8897.

Ringgit juga lebih stabil berbanding euro kepada 4.9539/9591 daripada 4.9693/9757.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3095/3133 daripada 3.3184/3229 semalam, dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 260.6/261.0 daripada 261.5/262.0.

Ringglt lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 7.47/7.49 daripada 7.50/7.51 ketika ditutup pada Isnin, dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0784/0988 daripada 13.1213/1439.

— BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial



Source link

Related Articles

Responses

Your email address will not be published. Required fields are marked *