BERNAMA – Pasaran Getah Ditutup Rendah
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) — Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini, dipengaruhi oleh aktiviti pembuatan global yang lemah dan kebimbangan mengenai penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) tanpa kehadiran pemain pasaran China, kata seorang peniaga.
Sentimen pasaran mengalami tekanan sekali lagi susulan penurunan harga niaga hadapan getah serantau.
“Bagaimanapun, kerugian dihadkan oleh gangguan bekalan akibat hujan yang berterusan di negara pengeluar getah, penurunan dalam stok getah China dan langkah terbaharu bank pusat China untuk menyokong ekonominya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata aktiviti kilang berkurangan di kebanyakan ekonomi utama Asia pada September dengan tanda-tanda kelembapan dalam pertumbuhan AS dan jangkaan impak tarif Presiden Donald Trump serta permintaan China yang lemah.
Pada 6.10 petang, minyak mentah Brent susut 0.98 peratus kepada AS$65.44 setong.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (SMR 20) turun 10.0 sen kepada 720.0 sen sekilogram manakala harga lateks secara pukal merosot 5.0 sen kepada 574.0 sen sekilogram.
Selain itu, beliau berkata pasaran getah Shanghai akan ditutup dari 1 hingga 8 Oktober, 2025 sempena cuti Hari Kebangsaan China.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial
Responses